Isteri Nabil Ahmad Beri Sokongan, Tenangkan Suami Hadapi Kontroversi
“Ayah, jangan risau… Segalanya akan baik-baik saja.”
Demikian luahan isteri kepada penyampai radio Era, Nabil Ahmad, iaitu Zira Ayub, selepas suaminya terpalit dalam kontroversi berkaitan isu perkauman baru-baru ini.
Dalam hantaran di media sosial, Zira menyampaikan kata-kata semangat kepada Nabil, mengingatkan suaminya agar sentiasa bergantung kepada Allah dalam menghadapi ujian.
“Anggaplah ini sebagai satu peringatan bahawa Allah mahu kita selalu mengingati-Nya, baik ketika senang mahupun saat diuji.
“Ayah ada kami, dan kami sentiasa di sini untuk menyokong serta menyayangi ayah. Ayah seorang yang penyayang, prihatin, serta memiliki naluri keibubapaan yang tinggi,” coretnya.
Menurut Zira lagi, dia dan anak-anaknya tetap teguh di sisi suaminya.
“Saya akan sentiasa menjadi peminat nombor satu ayah. Mungkin ada yang berkata buruk, tetapi saya lebih mengenali siapa ayah sebenarnya,” tambahnya.
Dalam hantaran yang sama, Zira turut berkongsi gambar mereka sekeluarga sebagai tanda sokongan.

Nabil Digantung Tugas, Netizen Beri Reaksi
Sebelum ini, Nabil bersama dua lagi penyampai segmen 3 Pagi Era, iaitu Radin dan Azad Jasmin, dikenakan tindakan penggantungan tugas oleh stesen radio tersebut. Beberapa kakitangan lain juga turut mengalami nasib yang sama.
Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan artis serta netizen meluahkan sokongan kepada Nabil dan rakan-rakannya.
“Semua orang sayang awak. Insya-Allah, teruslah merendah diri. Setiap orang ada ujian masing-masing. Semoga urusan dipermudahkan dan dilindungi Allah.”
“Setiap manusia melakukan kesilapan. Dalam Islam, kita diajar untuk bertaubat dan saling memaafkan. Semoga Allah merahmati dan memberi kemudahan dalam segala urusan.”
“Haji Nabil, kami bersama awak! Insya-Allah, segalanya akan kembali baik seperti sediakala.”
Kontroversi Video & Permohonan Maaf
Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan Pak Azad meniru tarian kavadi dengan Nabil menyebut “Vel Vel,” disertai gelak tawa. Klip tersebut menerima kecaman hebat kerana dianggap tidak menghormati kepercayaan masyarakat Hindu.
Menyedari kesilapan yang berlaku, Nabil, Azad, dan Radin segera tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Selain itu, ketiga-tiga mereka bersama beberapa kakitangan stesen radio berkenaan turut hadir memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman pada hari Rabu.