“Negara Ini Hanya Tahu Ambil Kesempatan” – Lelaki British Dakwa Terperangkap di Malaysia Kerana Isu Parkir
Seorang lelaki warga Britain mendakwa dirinya terperangkap di Malaysia selepas mengalami masalah ketika membayar caj parkir, lapor portal berita Express.co.uk.
Ahmed Hadi, seorang jurutera elektrik berusia 47 tahun yang berpangkalan di London, mendakwa bahawa pasportnya telah dirampas oleh mahkamah selepas kejadian di mana beliau meletakkan kenderaan selama kira-kira 10 minit di sebuah tempat parkir di Pulau Pinang pada 7 Disember lalu.
Ketika ingin keluar dari kawasan parkir, Ahmed menyatakan bahawa beliau cuba melunaskan bayaran sebanyak RM7 (£1.27), namun kedua-dua kadnya tidak diterima oleh mesin pembayaran.
Beliau mendakwa telah menekan butang bantuan dan cuba mendapatkan sokongan daripada pegawai parkir selama 10 minit, tetapi tidak menerima sebarang bantuan.
Disebabkan situasi tersebut, Ahmed dikatakan telah mengangkat palang plastik untuk keluar, yang secara tidak sengaja mengakibatkan kerosakan pada struktur tersebut.
Akibat tindakannya, beliau ditahan dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, di mana peguamnya cuba mencari penyelesaian dengan syarikat pengurusan parkir.
Namun, selepas lapan minggu berlalu, pasportnya masih berada dalam tahanan mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan, menyebabkan beliau terpaksa terus berada di Malaysia tanpa kepastian mengenai masa depan dirinya.

Lelaki British Kecewa dengan Sistem Undang-Undang
Menurut Ahmed, pada asalnya beliau bercadang untuk berpindah ke Malaysia bersama isterinya, Lucy, serta dua anak perempuan mereka. Namun, kejadian ini membuatkan beliau mempertimbangkan semula keputusannya.
“Saya telah cuba membayar tetapi mesin tidak menerima transaksi saya dan tidak membenarkan saya keluar. Saya sangka semuanya telah selesai, tetapi pasport saya masih ditahan dan saya tidak pasti bila atau jika saya akan mendapatkannya semula,” kata Ahmed dengan nada kecewa.
Ahmed juga menyifatkan pengalaman yang dilaluinya di Malaysia sebagai sesuatu yang menakutkan, malah melabel negara ini sebagai tempat yang “tidak menghormati hak asasi manusia”.
“Keadaan dalam tahanan sangat teruk. Kami seramai 50 orang berkongsi satu tandas. Seorang pegawai polis malah mengancam untuk memukul saya,” dakwanya ketika berkongsi pengalaman semasa ditahan.
Menurutnya, pengalaman ini membuatkan beliau sedar betapa baiknya kehidupan di Britain walaupun negara itu sering dikritik oleh rakyatnya sendiri.
“Negara ini hanya mahu mengambil kesempatan, dan kebebasan di sini sangat terbatas,” tambahnya.
Keluarga Terpaksa Membayar Kos Tinggi
Kejadian yang menimpa Ahmed berlaku ketika keluarganya dalam perjalanan untuk keluar makan. Menurutnya, tiada pilihan lain untuk keluar dari kawasan parkir pada waktu itu, dan dia hanya cuba mengangkat palang tersebut dengan berhati-hati, tetapi ia runtuh dengan mudah.

Isterinya, Lucy, terpaksa membayar sejumlah £2,425.41 (kira-kira RM13,231) bagi menampung kos jaminan dan yuran guaman untuk membebaskan Ahmed dari tahanan.
Mahkamah menetapkan bahawa Ahmed perlu hadir semula untuk perbicaraan pada 17 Februari bagi menyelesaikan kesnya.
“Kami pernah merancang untuk menetap di sini, tetapi selepas apa yang berlaku, itu bukan lagi pilihan. Sistem di sini tidak berperikemanusiaan,” luahnya lagi.
Lucy turut menambah bahawa ketika suaminya ditangkap, tiada siapa yang membacakan haknya, dan dia dipindahkan ke beberapa sel berbeza setiap hari tanpa pengetahuan keluarganya.
“Mereka terus mengatakan bahawa Ahmed seorang yang kaya kerana dia berasal dari Kuwait selain menjadi warga British. Mereka hanya mahu mengambil wang daripada kami,” kata Lucy dengan nada kesal.
Lelaki British itu turut menyifatkan Malaysia sebagai negara yang dikawal dengan ketat dan mendakwa kebebasan bersuara di sini sangat terhad.
Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Pepatah ini mungkin sesuai digunakan untuk lelaki British ini.