SKMM Keluarkan Notis Penggantungan Lesen kepada Astro Audio Berikutan Isu Video Tular
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM, berikutan penyebaran video tular yang menunjukkan penyampainya dikatakan memperlekehkan satu upacara keagamaan penganut Hindu.
Dalam satu kenyataan rasmi, SKMM menyatakan bahawa pemegang lesen diberikan tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.

Siasatan Diteruskan dan Kes Dibawa ke Timbalan Pendakwa Raya
Menurut SKMM, kertas siasatan berhubung isu ini akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi tindakan susulan terhadap video yang dimuat naik ke akaun TikTok milik Era FM.
Ekoran insiden tersebut, pihak pengurusan tertinggi Astro telah dipanggil oleh SKMM untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tiga Penyampai Era FM Hadir Beri Keterangan
Hari ini(5 Mac 2025), tiga penyampai segmen “3 Pagi Era” iaitu Nabil Ahmad, Radin Amir, dan Azad Jasmin telah selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selama lebih dua jam berkaitan dakwaan memperlekehkan upacara keagamaan Hindu.
Mereka dilihat tiba sekitar jam 10.30 pagi dan beredar dari lokasi pada jam 1.10 tengah hari dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna hitam. Namun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan kepada media yang menunggu di pekarangan Bukit Aman sejak pagi.
Selain tiga penyampai radio tersebut, beberapa kakitangan Era FM lain turut hadir untuk memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

Permohonan Maaf dan Reaksi Netizen
Sebelum ini, trio penyampai radio terbabit telah mengeluarkan permohonan maaf susulan penularan video kontroversi yang menunjukkan mereka mempermainkan tarian kavadi, salah satu ritual suci yang dilakukan ketika perayaan Thaipusam untuk memuliakan Dewa Murugan.
Video yang telah dipadam dari platform media sosial Era FM itu menunjukkan seorang penyampai meniru tarian kavadi sambil menyebut “Vel Vel,” diiringi gelak tawa rakan-rakannya.
Rakaman tersebut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak kerana dianggap sebagai satu penghinaan terhadap kepercayaan penganut Hindu.