Keistimewaan Syiling 1 Sen Tahun 1970 & 1976: Harta Karun Mini Buat Pengumpul
Bagi para penggemar serta pengumpul duit syiling lama, syiling 1 sen tahun 1970 dan 1976 dianggap sebagai antara khazanah paling bernilai. Walaupun nilainya di muka hanya satu sen, harga pasaran dalam dunia numismatik boleh melonjak beribu kali ganda. Disebabkan keunikannya, syiling 1 sen sering kali menjadi buruan utama selepas syiling 50 sen dalam koleksi para numismatis.

Syiling 1 Sen Tahun 1970: Kenapa Ia Jadi Rebutan?
Syiling keluaran 1970 ini dicetak di kilang Hamburg Mint, Jerman, dengan jumlah terhad sebanyak 2,535,000 keping sahaja. Logam utama bagi syiling ini ialah tembaga (copper), menjadikannya antara syiling “key date” yang paling dicari di Malaysia. Sekeping syiling ini dalam keadaan Brilliant Uncirculated (BU) boleh mencecah harga sehingga RM1,000 — dan nilainya dijangka terus meningkat. Malah, ada yang percaya satu hari nanti, nilainya mampu menyaingi harga emas tulen.
Sejak Bank Negara Malaysia menghentikan pengeluaran syiling 1 sen dan menarik balik edaran duit syiling siri ketiga, pencarian syiling 1 sen edisi awal semakin mencabar. Terutamanya jika pengumpul mensasarkan versi pertama siri Parlimen, ia memerlukan usaha dan kesabaran luar biasa.
Versi Rare: 1 Sen 1970 Copper Clad Steel
Ada juga versi syiling 1 sen 1970 yang diperbuat daripada copper clad steel, yang merupakan kesilapan cetakan logam (wrong metal error). Pakar numismatik terkenal, Dickson Niew, pernah menyatakan bahawa hanya empat keping yang diketahui wujud. Dua daripadanya berada di Malaysia (satu dalam gred UNC, satu GVF), satu di Singapura dengan gred MS63RB (NGC), dan satu lagi ditemui di luar negara.
Cara mudah untuk mengesan versi ini ialah dengan menggunakan magnet. Syiling copper biasa tidak melekat pada magnet, manakala versi copper clad steel akan melekat. Menariknya, bagi tahun 1976, situasinya terbalik!
Nilai Terkini 1 Sen 1970 Copper Clad Steel
- Very Fine (VF): RM800
- Extremely Fine (EF): RM1,500
- Uncirculated (UNC): RM4,500
- Brilliant Uncirculated (BU): RM5,500
Setakat ini, tiada laporan penemuan baru untuk tahun semasa — sekali gus menjadikan nilainya lebih eksklusif.

1 Sen Tahun 1976: Bronze vs Copper Clad Steel
Tahun 1976 juga mencatat sejarah tersendiri apabila syiling 1 sen dikeluarkan dalam dua versi logam berbeza — Bronze (gangsa) dan Copper Clad Steel. Untuk pengetahuan, versi Bronze adalah sangat jarang dan dianggarkan hanya 100 keping sahaja wujud di seluruh dunia.
Pada tahun 2014, nilai pasaran untuk versi gangsa ini mencecah RM7,000 dan terus mencatat peningkatan. Sementara itu, versi copper clad steel pada tahun 2013 bernilai sekitar RM1,800 dan dijangka turut meningkat dari semasa ke semasa.
Jika anda terjumpa syiling-syiling ini dalam simpanan lama, mungkin anda sedang memegang permata tersembunyi yang tidak ternilai!