Kepercayaan Dikhianati: Bayi Lima Bulan Dibawa Berniaga Tanpa Izin
Seorang ibu mengalami detik memilukan apabila mengetahui anak perempuannya yang baru berusia lima bulan dibawa oleh pengasuh ke bazar Ramadan tanpa pengetahuannya. Pengasuh yang sebelum ini diberikan kepercayaan penuh rupa-rupanya bertindak di luar jangkaan.
“Hati saya hancur bila dapat tahu perkara ini. Saya betul-betul terkejut, rasa seperti jantung hampir tercabut!” luah si ibu dalam satu perkongsian di media sosial.
Menurut wanita berkenaan, dia sebelum ini hanya dimaklumkan bahawa pengasuh tersebut ingin mencari pendapatan tambahan dengan membantu perniagaan ahli keluarganya dari rumah.
“Dia beritahu saya nak tolong kakak iparnya berniaga dari rumah, tapi rupa-rupanya dia pergi ke bazar Ramadan.”

Dibawa Jauh Tanpa Pengetahuan Ibu Bapa
Lebih mengejutkan, bayi kecil itu bukan sekadar ditinggalkan di rumah tetapi telah dibawa ke lokasi jauh dari kediaman pengasuh.
“Kami tinggal di Sungai Besi, tetapi dia bawa anak saya ke Wangsa Maju. Jaraknya bukan dekat! Kami pun tak pasti dia naik motosikal atau kereta, cuma berharap dia guna kereta.”
Rahsia ini terbongkar apabila pada suatu hari, pengasuh tersebut menghubungi wanita berkenaan dan memintanya mengambil anak di Wangsa Maju kerana tidak sempat pulang ke Sungai Besi.
“Kami ke Wangsa Maju, tapi dia suruh ke bazar Ramadan. Di situlah saya ternampak anak saya berada di bawah khemah tempat dia berniaga.”
Bazar Ramadan yang penuh dengan asap dan kesibukan jelas bukan tempat sesuai untuk bayi kecil, apatah lagi dalam keadaan pengasuh yang sibuk menguruskan jualan.
Kenangan Pahit Yang Sukar Dilupakan
Walaupun kejadian ini berlaku sembilan tahun lalu pada tahun 2016, namun trauma yang dialami si ibu masih kekal hingga ke hari ini.
Lebih mengejutkan, pada hari terakhir anaknya dihantar ke rumah pengasuh tersebut, satu lagi insiden yang tidak dijangka berlaku.
“Rupa-rupanya pada hari itu, suami pengasuh yang menjaga anak saya di rumah, manakala isterinya tetap pergi berniaga di bazar.
Sebagai ibu, pelbagai perkara buruk mula terlintas di fikirannya mengenai keselamatan anaknya.
Pengajaran Buat Ibu Bapa
Kejadian ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam memilih pengasuh untuk menjaga anak mereka.
Pada masa yang sama, wanita itu turut menasihatkan para pengasuh agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan amanah menjaga anak orang lain.
“Kalau boleh, elakkan ambil pengasuh yang ada kerja sampingan. Mereka mungkin tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak kita.”
Sehingga kini, setiap kali mendengar kes penganiayaan kanak-kanak melibatkan pengasuh, perasaan trauma itu kembali menghantui dirinya.