Dari Eksperimen Kepada Kejayaan: Kisah Inspirasi Anak Muda Usahakan Kayu Api ‘Unggun By The Shepherd’
Bermula sebagai sekadar cubaan, kini telah berkembang menjadi sumber rezeki yang mengubah kehidupan. Itulah kisah Mohamad Ammar Sobri, seorang anak muda dari Kepala Batas, Pulau Pinang, yang kini mengusahakan perniagaan kayu api berjenama ‘Unggun By The Shepherd’.
Segalanya bermula pada tahun 2021, ketika Ammar menjalankan perniagaan ‘kambing golek’ dan berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19. Untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, beliau beralih daripada menggunakan arang kepada kayu api bagi memasak daging, yang turut mencetuskan idea baharu.
“Saya asalnya hanya ingin mencuba menu berasaskan salai menggunakan kayu api. Tapi ketika sedang bereksperimen dengan daging smoked, seorang rakan mencadangkan agar saya juga menjual kayu api kepada peminat BBQ dan aktiviti perkhemahan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Kajang, Selangor.

Dari Kayu Api ke Smoked Meat
Ammar menjelaskan bahawa daging smoked mempunyai perbezaan ketara dengan daging salai biasa. Daging smoked dimasak perlahan dalam alat khas seperti smoker brick atau offset smoker, mengambil masa sehingga 12 jam bergantung kepada jenis daging, dan boleh terus dimakan. Sebaliknya, daging salai memerlukan proses memasak semula seperti dalam menu masak lemak.
Apabila melihat sambutan terhadap produk kayu apinya semakin memberangsangkan, Ammar mula menumpukan usaha untuk menjadikannya sebagai salah satu cabang pendapatan utama, terutama untuk memenuhi keperluan penggemar perkhemahan yang sukar mendapatkan bekalan kayu api berkualiti.
Kayu Daripada Alam Semula Jadi
Perniagaan Ammar dibina berasaskan kelestarian. Bersama tiga orang pekerjanya, mereka memperoleh kayu daripada kawasan yang bakal dibangunkan semula – seperti ladang getah yang akan dibersihkan. Kayu daripada pokok yang ditebang dijadikan bahan jualan, hasil kerjasama strategik dengan pemaju perumahan.
Jenis kayu yang dijual termasuk pokok buah-buahan seperti rambutan, durian, petai, dan cempedak, serta pokok getah dan bakau. Kayu ini dibahagikan kepada dua kategori utama: kayu lembut (seperti getah dan durian) dan kayu keras (seperti rambutan dan leban) – yang masing-masing sesuai untuk tujuan tertentu seperti pembakaran tahan lama ketika berkhemah.
Ukuran kayu dijual dalam dua saiz: pendek (22.9cm) dan panjang (45.7cm), dengan satu ikat mengandungi 17 batang dan harga bermula serendah RM20 hingga RM55 bergantung kepada jenis.
Selain itu, beliau turut menjual papan pemotong kayu daripada kayu manggis dengan harga RM100 seunit.

Pelanggan Pelbagai Latar
Menurut Ammar, permintaan datang dari pelbagai pihak, termasuk pengusaha tapak perkhemahan dan mereka yang mencari bahan hiasan rumah – terutamanya pelanggan berbangsa Cina.
Purata pendapatan harian yang beliau perolehi hasil jualan kayu mencecah antara RM400 hingga RM600.
Namun begitu, jalan yang dilaluinya tidak semudah disangka. Ammar mengakui masih ada yang memandang rendah terhadap perniagaan kayu apinya.
“Ramai yang ketawa bila saya kata saya jual kayu api. Mereka tanya, ‘Siapa nak beli kayu api di bandar?’ Tapi hakikatnya masih ramai yang mencari, terutama untuk kenduri konsep rewang atau aktiviti luar,” jelasnya.
Dengan hanya modal RM600 pada awalnya – digunakan untuk membeli sebilah kapak jenama Fiskars – Ammar membina perniagaannya perlahan-lahan.
“Apa yang saya pelajari, perniagaan ini bukan hanya tentang kayu api. Ia lebih luas jika kita tahu apa yang pelanggan perlukan dan apa lagi nilai yang boleh kita tambah,” katanya.
Dari Semenanjung ke Pelusuk Perkhemahan
Antara keunikan yang beliau nikmati dalam menjalankan perniagaan ini ialah peluang untuk menghantar sendiri pesanan ke tapak perkhemahan seluruh negara – termasuk di negeri seperti Perak, Terengganu, dan Pahang.
Tagline yang dibawa, ‘Menghangatkan Camping Anda’, mencerminkan keperluan sebenar pelanggan, terutama ketika musim hujan, di mana kayu api menjadi keperluan utama untuk pemanasan badan.
Selain menjual secara langsung, produk juga ditawarkan di Shopee bagi memudahkan capaian pelanggan di seluruh negara.

Bangkit Dari Ujian
Mengimbas kembali detik mencabar sewaktu pandemik, Ammar pernah menutup restoran berkonsepkan masakan Barat yang diusahakan selama empat tahun. Namun daripada kejatuhan itulah lahirnya peluang baharu.
Beliau menyeru anak muda agar tidak mudah berputus asa.
“Jangan terlalu memilih kerja. Kadang-kadang, dalam kesusahan itulah ada peluang tersembunyi. Percaya bahawa ujian itu hadir dengan hikmah. Saya tak pernah sangka jual kayu api boleh jadi punca rezeki yang luar biasa,” katanya penuh semangat.