Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar menzahirkan rasa syukur atas sumbangan bernilai lebih RM1 juta yang diterima untuk membantu masyarakat di Muar.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, bantuan yang diagihkan meliputi pakaian tradisional, jubah, telekung, serta bakul makanan, hasil kerjasama dengan satu jenama fesyen tempatan yang terkenal.
“Alhamdulillah, RM1 juta untuk Muar. Saya dapat apa? Saya dapat kasih sayang dan kegembiraan yang luar biasa.
“Melihat mereka yang kurang bernasib baik tersenyum membuatkan saya rasa amat bahagia,” katanya dalam satu hantaran di platform X pada hari Rabu.
Selain Syed Saddiq, selebriti terkenal, Bella Astillah, turut terlibat dalam kolaborasi bersama jenama pakaian tersebut.
Pada 24 Januari lalu, aksi mereka mendaki Gunung Kinabalu menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila mereka mengenakan pakaian tradisional—Bella berbaju kurung, manakala Syed Saddiq tampil segak dengan baju Melayu lengkap bersamping.
Bella sebelum ini turut berkongsi bahawa mereka adalah sahabat baik dan sering melakukan aktiviti rekreasi bersama, seperti bermain badminton, terutama selepas menjadi duta jenama tersebut.
Syed Saddiq memaklumkan bahawa bantuan yang disalurkan melibatkan 3,456 pasang baju Melayu dan baju kurung untuk kanak-kanak, serta 1,625 pasang lagi untuk golongan warga emas.
Di samping itu, sebanyak 500 telekung, 500 jubah, dan 800 bakul makanan turut diberikan kepada masyarakat Muar yang memerlukan.
“Bagaimana semua ini diperoleh? Bukan dengan bercuti, tetapi dengan menjadi model, menghadiri sesi penggambaran, dan mendaki Gunung Kinabalu.
“Saya sanggup lakukan apa sahaja demi kesejahteraan warga Muar,” katanya dengan penuh komitmen.
Hasil usaha yang dilakukan Ahli Parlimen Muar ini harus dijadikan contoh oleh ahli parlimen lain. Siapa sangka, ada satu fesyen terkenal sanggup memberikan RM1 juta untuk penduduk setempat.