KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli menyediakan juadah bubur lambuk Pahang untuk diedarkan kepada rakyat.
Permaisuri Agong yang cukup dikenali dengan bakat dan kebolehan memasak sekali lagi berkenan memasak resipi tradisi rakyat Pahang itu di pekarangan surau utama Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli membantu menyediakan juadah itu. Seri Paduka Baginda berdua dibantu kira-kira 200 pegawai dan kakitangan Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (Keksin) yang bergotong-royong seawal 10 pagi tadi.
Tunku Azizah bertitah, bubur lambuk Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia menggunakan pucuk paku merah. “Tetapi susahnya nak cari (pucuk paku merah), dapat sedikit sahaja tadi. Jadi tidak apalah, kita letak sayur-sayuran lain lagi.
“Bubur lambuk Pahang juga menggunakan santan, udang kering. Saya pun belajar daripada orang Pahang. Kalau bubur lambuk Johor, dia lain,” titah Seri Paduka pada Program Bubur Lambuk Raja Permaisuri Agong bersama Keksin di Istana Negara di sini.