Michelle Yeoh Pelakon Asia Pertama dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik Oscar.

LOS ANGELES : Tan Sri Michelle Yeoh telah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95 sebentar tadi. Pelakon kelahiran Malaysia yang telah lama mencipta nama di Hollywood melakar satu sejarah apabila menjadi pelakon wanita utama dari Asia yang memenangi anugerah berprestij tinggi itu.

Yeoh, 61, memenangi trofi idaman seluruh pengkarya seni di dunia menerusi lakonan hebatnya sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Filem ‘box office’, Everything Everywhere All At Once menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia. Watak beliau yang dipaparkan berketurunan Cina-Amerika juga terpaksa bergelut dengan masalah kehidupan.

Ketika menerima trofi, Yeoh mendedikasikan kemenangannya buat ibu tercinta, Datin Janet Yeoh yang baginya memiliki semangat wanita kental dan cekal luarbiasa, terutama dalam memberikan sokongan padu kepadanya.

“Impian menjadi kenyataan. Ini adalah bukti bahawa impian besar dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Dan, untuk wanita jangan biarkan sesiapa memberitahu anda bahawa kamu sudah  melepasi masa kejayaan. Wanita jangan pernah putus asa,” katanya dengan nada sebak.

Lebih membanggakan, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu menewaskan nama besar seperti Cate Blanchett yang tercalon menerusi filem TÁR, Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans).

Terdahulu, menerusi watak dijayakan Yeoh dalam filem ditayangkan Mac tahun lalu itu turut membawa tuah kepadanya apabila memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi, Anugerah Golden Globe dan Pelakon Wanita Terbaik, Screen Actors Guild Awards (SAG).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *