PETALING JAYA: Jenazah tokoh pendidikan dan profesor wanita Melayu pertama, Puan Sri Prof Emeritus Dr Fatimah Hamid Don, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan di sini, pada 2.45 petang ini.
Allahyarham yang juga bekas Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) bermula 1978 hingga 1990, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.35 pagi tadi, ketika dalam fasa pemulihan selepas berjuang melawan penyakit strok sejak setahun lalu di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur.
Bekas Dekan Fakulti Pendidikan UM, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, ketika ditemui berkata, pemergian Fatimah iaitu mentornya ketika di UM adalah perkara yang pahit untuk ditelan, mengenangkan segala tunjuk ajar Allahyarham dalam memupuk ilmuwan sepertinya.
Fatimah memulakan kerjaya sebagai pembantu pensyarah pada 1964 di Fakulti Pendidikan, UM dan seterusnya dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan, sekali gus menjadi wanita Melayu pertama dilantik menjadi profesor.
Fatimah bersara sebagai profesor pada 1990 setelah 26 tahun dalam perkhidmatan.
Allahyarham juga terbabit menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan laporan persidangan wanita sedunia PBB serta laporan “Convention on the Right of the Child” (CRC) dan ‘Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women’ CEDAW). – BERNAMA