KUALA LUMPUR – Pentas paling berprestij di negara ini, Istana Budaya bakal ditutup selama tiga tahun bagi memberi ruang bagi pihak pengurusan untuk melaksanakan kerja-kerja membaikpulih bahagian bumbung bangunan tersebut yang akan bermula pada Julai tahun ini.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar ketika ditemubual berkata penutupan Istana Budaya selama 36 bulan ini tidak dapat dielakkan lagi kerana kali terakhir bangunan ini diselenggara adalah pada 24 tahun yang lalu. Selain dari itu, pelbagai kerja menambah baik sistem keselamatan bangunan itu juga turut akan dijalankan.
“Buat masa ini masih belum ada tarikh khusus kerana kami masih menunggu penjelasan gerak kerja dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).”
Bagaimanapun, sempena dengan penutupan pentas utama di Istana Budaya, Panggung Sari, aktiviti kegiatan seni dan pementasan kini akan dibawakan ke seluruh pelusuk negara melalui program Gerak.
Istana Budaya akan menganjurkan program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia, siri jelajah Istana Budaya Sulur Nakasari, Orkestra Simfoni Kebangsaan Siri Lambang Sari 2023, Istana Budaya In The Park; Konsert Mega Kembara Muzik Tradisional dan Echoes of Bronze, ASEAN.
“Selepas Jun, semua aktiviti yang ada kaitan dengan IB akan dipentaskan di lokasi luar terpilih di seluruh negara,” katanya.