10 Tips Penjagaan Kesihatan untuk Warga Emas.

Kekal sihat dan aktif adalah penting bagi setiap peringkat umur, tetapi bagi warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, kesihatan adalah salah satu perkara yang lebih dititikberatkan berdasarkan statistik kesihatan yang merumuskan warga emas lebih terdedah kepada pelbagai penyakit seiring dengan penambahan usia. Berikut adalah 10 tips yang boleh diikuti oleh warga emas atau sesiapa sahaja sebagai persiapan di masa hadapan.

1. Lakukan saringan kesihatan

Saringan status kesihatan warga emas merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan di Klinik Kesihatan untuk mengesan faktor risiko kesihatan, rujukan dan intervensi selanjutnya.

Menurut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, saringan ini hendaklah dilakukan setahun sekali dan selain itu terdapat juga saringan lain yang boleh dilakukan termasuk saringan untuk kanser prostat, kanser payudara dan kanser kolon.

2. Bersenam untuk kekal aktif.

Antara tanggapan salah yang sering didengari adalah warga emas harus lebih berehat untuk mengelakkan kecederaan. Bagaimanapun, adalah penting bagi warga emas untuk masih kekal aktif bagi menjaga kesihatan otot, sendi dan tubuh badan secara kesuluruhan.

Kesihatan mental juga harus diberikan perhatian melalui pelbagai cara antaranya dengan mengikuti kelas-kelas untuk mempelajari kemahiran dan hobi baru, membaca dan menjaga hubungan baik dengan komuniti, rakan sebaya dan ahli keluarga.

3. Kekalkan kesihatan tulang.

Kita jarang memikirkan tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan tulang melainkan sekiranya terdapat kecederaan tetapi penjagaan kesihatan tulang adalah penting terutamanya dikalangan wanita kerana mereka lebih berisiko menghadapi osteoporosis.

Warga emas harus mendapatkan khidmat nasihat doctor, menjalankan ujian saringan dan melakukan pelbagai perkara untuk memastikan kesihatan tulang berada pada tahap yang baik. Antara tips yang boleh anda ikuti adalah menambahkan kalsium dan vitamin D dalam diet seharian, beriadah dan mengelakkan pengambilan bahan-bahan terlarang.

4. Jangan biarkan kesakitan sendi jadi penghalang.

Kesakitan sendi pastinya akan membataskan pergerakan dan juga akan memberikan kesan buruk kepada tubuh secara keseluruhannya. Kesakitan sendi ini dapat dielakkan dengan cara hidup yang aktif dan penjagaan pemakanan yang baik.

Sekiranya terdapat kesakitan pada sendi yang dialami sudah tidak dapat dikawal melalui ubatan, terdapat prosedur perubatan yang boleh lakukan untuk menggantikan sendi-sendi lama terutamanya dibahagian lutut, peha, dan bahu.

5. Jaga kesihatan jantung.

Diet terbaik untuk mengelakkan penyakit jantung adalah pemakanan yang seimbang dan mengandungi buah-buahan dan sayur, bijirin penuh, kekacang, ikan, ayam dan minyak sayuran dalam jumlah yang terkawal.

Sekiranya anda pernah terkena serangan jantung, masih belum terlambat untuk memperbaiki tahap kesihatan jantung anda tetapi pastikan anda mendapatkan nasihat pakar sebelum menjalankan sebarang aktiviti fizikal.

6. Jaga kesihatan mata.

Mata merupakan satu deria yang amat penting untuk dijaga kerana seiring dengan pertambahan usia, organ penglihatan ini akan turut sama terjejas. Antara penyakit yang kerap dihidapi oleh warga emas adalah katarak mata, glaukoma, kabur penglihatan dan kekeringan mata.

Terdapat pelbagai cara untuk melindungi mata anda antaranya dengan memakai kacamata lindung suria yang melindungi mata dari terdedah kepada pencemara dan sinar ultraviolet yang boleh menyebabkan kecederaan kekal terhadap kornea mata.

7. Jaga deria pendengaran.

Telinga anda merupakan organ penting untuk pendengaran, keseimbangan badan dan koordinasi pergerakan mata dan kepala. Khidmat nasihat pakar adalah diperlukan sekiranya terdapat kemerosotan deria pendengaran, sukar memahami pertuturan orang sekeliling atau terdengar bunyi asing yang berterusan.

Kehilangan deria pendengaran juga memberikan kesan kepada aktiviti seharian dan menganggu waktu rehat seseorang. Warga emas juga disarankan untuk menggunakan alat bantuan pendengaran sekiranya perlu.

8. Sepatu yang membantu.

Di usia yang semakin meningkat, tekanan yang berterusan mendedahkan kaki kepada keradangan, ketidakselesaan dan membataskan pergerakan. Menjaga kesihatan dan keselamatan kaki dari kecederaan adalah penting untuk kekal aktif.

Sekiranya anda mengalami kesakitan di bahagian kaki, tumit dan pergelangan kaki, nasihat pakar perlu didapatkan selain mengambil langkah menggunakan sepatu yang sesuai. Warga emas adalah disarankan untuk memakai sepatu ringan bertapak tebal yang selesa dan memiliki tapak jenis non-slip bagi mengelakkan kecederaan akibat tergelincir di kawasan yang licin.

9. Simpan ubatan dengan baik.

Sekiranya anda menghidapi sebarang penyakit yang memerlukan bantuan perubatan, pastikan ubat-ubatan yang anda terima dan simpan adalah dalam tarikh sah tamat tempoh dan diletakkan di tempat yang sesuai bagi memudahkan anda mengingati jadual pengambilan ubat.

Anda juga harus membuat semakan ahli perubatan untuk memastikan ubat yang diambil adalah memenuhi keperluan semasa selain mengelakkan sebarang kompliasi negatif akibat kombinasi ubat-ubatan.

10. Rehat secukupnya.

Keperluan untuk berehat adalah berbeza mengikut individu dan juga berdasarkan kepada pelbagai factor. Menurut satu kajian yang dijalan di Amerika, 50% dari warga emas yang berusia 65 tahun ke atas mengalami masalah sukar tidur. Rehat yang tidak mencukupi juga menambahkan risiko untuk jatuh dan keletihan pada siang hari.

Antara punca tidur yang kurang lena diwaktu malam adalah ruang tidur yang kurang kondusif, jadual tidur yang tidak teratur, makanan atau minuman yang kurang sesuai dan kurangnya aktiviti fizikal di waktu siang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *