2 Laporan Polis Diterima Susulan Dakwaan Pelajar SMK Tasek Damai Maut Selepas Menerima Vaksin


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid (Gambar atas-Sumber gambar Utusan Malaysia) mengesahkan dua laporan polis diterima berkaitan dakwaan kematian dua orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai yang kononnya berpunca daripada suntikan vaksin COVID-19.



Salah satu laporan polis tersebut dibuat oleh Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh manakala satu lagi dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan.



Menurut Ketua Polis Perak itu, Mangsa pertama ialah seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat masalah kesihatan iaitu diabetis. Mangsa juga disahkan positif COVID-19.

Menurut beliau lagi, mangsa kedua pula meninggal dunia pada 17 September lepas di hospital yang sama kerana masalah jantung berlubang dan merupakan seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima.

Walaubagaimanapun dalam kenyataan yang sama,beliau menyatakan bahawa kedua-dua mangsa dilaporkan masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat mengakibatkan pecah keamanan selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.