Kapal Tangki Terbakar, Tiga Kru Masih Hilang

KOTA TINGGI: Tiga krew kapal tangki berdaftar dari Gabon, Afrika masih hilang, susulan insiden kebakaran berlaku pada petang Isnin. Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria memaklumkan 25 yang lain berjaya diselamatkan.

Kebakaran berlaku di sebuah kapal tangki di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di sini, dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4 petang.

Beliau berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.

Katanya, operasi perkhidmatan Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) Maritim segera dilaksanakan dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 digerakkan ke lokasi kejadian.

“Seramai 23 kru berjaya diselamatkan dua kapal berhampiran lokasi kejadian. Bagaimanapun tiga lagi kru kapal dilaporkan masih hilang dan operasi Carilamat sedang dijalankan bagi mengesan mereka. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Nurul Hizam berkata, maklumat lanjut berkaitan kru yang hilang sedang diperoleh.

“Kebakaran membabitkan sebahagian kapal. Pihak kami sedang bekerjasama dengan pemilik dan ejen untuk menjalankan usaha memadam kebakaran,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *