Sambut Bulan Ramadan Yang Penuh Berkah Dan Maghfirah

Keistimewaan Ramadan seperti ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah SWT yang terbuka luas, menjadikan bulan itu dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia.

Alhamdulillah, kita masih diizinkan lagi untuk bertemu dengan bulan mulia ini yang hanya muncul setahun sekali. Walaupun pelbagai ujian yang melanda rakyat Malaysia tahun ini, namun alhamdulillah Allah masih memberi peluang kepada kita untuk menyambut Ramadan. Apa yang pasti, kita sendiri tidak tahu pada tahun-tahun akan datang kita dapat menyambutnya lagi atau tidak.

Sebagai seorang muslim, peluang yang dibentangkan oleh Allah SWT kepada umatnya di bulan Ramadan ini seharusnya tidak disia-siakan kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh berkah dan penuh maghfirah (ampunan) sepertimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah datang Bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan, maka Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa pada bulan itu, saat itu pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan diikat dan pada bulan itu pula terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan,” (HR. Ahmad).

Di awal Ramadan ini, Allah SWT membelenggu syaitan-syaitan, pintu neraka ditutup, pintu syurga pula dibuka seluas-luasnya dan Allah SWT menyeru, “Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu. Pada setiap malam Allah SWT memiliki orang-orang yang dibebaskan dari neraka,”(HR Tirmidzi).

Allah SWT berfirman lagi “Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu,” (HR Bukhari dan Muslim). Begitu besar nikmat Allah SWT kurniakan untuk kita rebut pahala ini. Namun persoalannya adakah kita telah bersiap-sedia untuk mengejar ganjaran Allah SWT ini?

Berpuasa, solat terawih, membaca Al-Quran dan tadarus, berdoa antara amalan yang boleh kita lakukan bagi mengejar pahala dan maghfirah Allah SWT di bulan ramadhan ini. Di bulan Ramadan ini juga umat Islam berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan sedekah. Sedekah pula dalam pelbagai bentuk boleh kita berikan antaranya, memberi makan orang berbuka puasa.

Rasulullah SAW: “Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya, dan Allah akan memberikan dia minum daripada Haudh (telaga) ku dengan minuman yang akan menyebabkan dia tidak akan dahaga selamanya sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.” Jadi apa kita tunggu lagi, masa inilah peluang kita rebut sebanyak mungkin pahala yang allah kurniakan dengan perbanyakkan melakukan amalan-amalan wajib dan sunnah supaya dapat kita meraih keberkatan serta maghfirah Allah SWT.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *