KUALA LUMPUR – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri termasuk Melaka dan Pahang telah memberikan kemudahan penempatan sementara kepada lebih 9,000 mangsa banjir di seluruh negara. Enam negeri yang terjejas teruk akibat banjir adalah Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 8 malam adalah sebanyak 9,162, manakala Segamat menjadi daerah yang paling teruk terjejas akibat banjir setakat ini. Daerah lain yang terjejas akibat banjir di negeri Johor adalah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Muar, Kulai, Mersing dan Tangkak.
Laluan Perwira Jaya, Rompin ditutup kepada semua kenderaan di kedua-dua arah selepas runtuh awal pagi tadi akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat. FB BERNAMA
Di negeri Pahang pula, daerah yang dikesan terjejas akibat banjir adalah Rompin, Jerantut, Pekan dan Maran dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 293 orang manakala seramai 145 mangsa di Negeri Sembilan ditempatkan di tiga buah PPS di daerah Jempol, Tampin dan Kuala Pilah.
Negeri Melaka pula telah menerima 22 mangsa daripada lapan keluarga di tiga PPS di Jasin dan Alor Gajah.
“Empat mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Bukit Tambun dan Kampung Gadek di Alor Gajah pula dipindahkan ke Balai Raya Bukit Tambun, juga pada 4.30 petang. Pendaftaran mangsa di PPS SK Chohong, Jasin sedang dilakukan selepas ia dibuka pada 7 malam ini,” menurut kenyataan itu.
Sarawak mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir sebanyak 127 orang daripada 169 pada petang tadi manakala di Sabah pula, mangsa banjir setakat ini kekal 108 orang dari 24 keluarga yang masih berada di PPS Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod. BERNAMA