Muhyiddin gesa pertimbang pengeluaran KWSP, moratorium bantu rakyat terkesan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memajukan ekonomi negara serta memelihara kebajikan rakyat.

Beliau berkata, ini termasuk mempertimbangkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian moratorium pinjaman bank.

“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan.

“Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Parlimen di sini hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata, bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan krisis.

Justeru, katanya, wajar sekali jika bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban akibat kesan inflasi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Sementara itu, Muhyiddin berkata dasar mengenai Bumiputera satu lagi perkara penting yang mesti diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam konteks hari ini sebahagian besar daripada golongan B40 yang sudah bertukar menjadi B60, adalah Bumiputera.

“Sebuah negara majmuk dan berbilang kaum tidak akan stabil dan makmur sekiranya kaum majoriti berada dalam kelompok miskin dan berpendapatan rendah dengan jurang kaya miskin semakin melebar,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dengan melakukan semak dan imbang secara konstruktif.

“Ahli-Ahli Parlimen PN akan terus memainkan peranan kami dengan penuh berintegriti dan menjunjung prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil.

“Mana-mana dasar yang baik kami sokong. Mana-mana dasar yang memberi mudarat kepada rakyat kami akan tentang,” katanya. – BERNAMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *