Kerajaan sedia memperluas inisiatif ‘Menu Rahmah’ kepada bukan makanan sahaja

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memperluaskan inisiatif ‘Rahmah’ dengan menambah bilangan pemain industri dan penaja, bukan sahaja untuk hidangan tetapi juga produk lain.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kerajaan akan bekerjasama dengan bank dan pemain industri lain dalam usaha menangani bebanan kos hidup tinggi.

“Kerjasama ini akan memberikan lebih keyakinan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan lebih banyak pihak terbabit supaya kita boleh fokus untuk mengajak mereka membantu menangani kos sara hidup.

“Jika kita terus (terbabit) dengan syarikat besar seperti PETRONAS dan bank, saya pasti mereka (syarikat berkaitan kerajaanlain) akan tampil membantu,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (kanan) bersama Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh (kiri) menunjukkan Menu Rahmah ketika hadir ke Restoran Nasi Kandar Stadium, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau menu Rahmah berharga RM5 yang dijual di Restoran Nasi Kandar Stadium dekat Cheras, di sini. Hadir sama Timbalannya, Senator Fuziah Salleh.

Salahuddin berkata, sehingga kini tiada tiada had masa atau paksaan bagi mana-mana restoran untuk melaksanakan hidangan Menu Rahmah kerana ia hanya satu inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan dengan hidangan yang lebih murah.

Pada 31 Januari lalu, Datuk Seri Salahuddin melancarkan inisiatif Menu Rahmah dengan sebanyak 15,000 premis menjual makanan melaksanakan usaha berkenaan, bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya B40 yang ternyata amat terkesan dengan perubahan ekonomi semasa negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *