PESHAWAR – 49 pelajar sebuah madrasah maut apabila bot yang mereka naiki karam di tengah sebuah empangan yang beku akibat cuaca sejuk. Pasukan penyelamat mengambil masa 3 hari untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang berusia antara 7 hingga 14 tahun.
Kejadian yang berlaku di Empangan Tanda pada Ahad lalu berlaku akibat bot yang dinaiki mereka terlalu sarat dengan penumpang. Murid-murid di madrasah tersebut mengunjungi empangan tersebut yang berada kira-kira 5 kilometer dari sekolah mereka, sebuah pesantren yang menawarkan pendidikan agama secara percuma. Kapasiti sebenar bot itu bagaimanapun hanyalah sebanyak 20 – 25 penumpang sahaja.
Pegawai kanan pasukan Rescue 1122, Khateer Ahmad berkata air empangan yang beku dan cuaca yang amat sejuk menyukarkan misi menyelamat tetapi pada hari ketiga penyelam berjaya menyelam lebih dalam dan mengeluarkan kesemua mangsa.
Suasana di sekitar kawasan tasik yang menjadi tarikan pelancong itu dipenuhi oleh ahli keluarga mangsa yang mengerumuni mayat yang dibawa naik untuk mengenalpasti mangsa. Lima individu yang terlibat bagaimanapun berjaya diselamatkan termasuk 4 murid dan seorang guru.
Muhammad Mustafa, 11 tahun yang terselamat dari tragedi ini berkata :
“Saya terperangkap dibawah bot itu dan terpaksa menanggalkan selendang dan baju sejuk saya untuk menyelamatkan diri. Air terlampau sejuk dan tubuh saya menjadi kebas. Saya berfikir saya akan pengsan apabila seorang lelaki dating menyelamatkan saya”.