KOTA KINABALU – Morris Dulin, 69 tahun ditemukan dalam keadaan selamat oleh KD Sunda, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setelah 30 jam dilaporkan hilang akibat tragedi bot yang dinaikinya bersama dua lagi rakan karam di perairan Karambunai pada jam 1.45 petang tadi.
Beliau ditemukan hampir 20 kilometer dari tempat kejadian dan telah dibawa ke Pengkalan TLDM untuk pengesahan dan rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah dalam kenyataannya mengesahkan bahawa mangsa sedang berpaut pada sebuah tong minyak ketika diselamatkan.
Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan dengan Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot nelayan awam.
Ketika kejadian pada jam 6 pagi semalam, Morris Dulin yang bersama 2 lagi rakannya yang berasal dari Kampung Mengkabung, Tuaran keluar ke laut untuk memukat ikan menggunakan sebuah bot. Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot yang dinaiki mereka karam.
Kedua rakannya yang terselamat dikatakan sempat memakai jaket dan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan.