KUALA LUMPUR: Tan Sri Michelle Yeoh terus melakar sejarah apabila tercalon dalam kategori Aktres Terbaik, Anugerah Akademi (OSCAR) ke-95. Sebelum ini, pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Malaysia ini telah berjaya meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi di Anugerah Golden Globe.
Lebih membanggakan, Michelle, 61 menjadi pelakon wanita Asia pertama mendapat pengiktirafan penganjur, The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences untuk dicalonkan dalam kategori utama OSCAR melalui watak Evelyn Quan dalam filem Everthing Everywhere All At Once.
Turut bersaing dengan Michelle Yeoh yang sebelum ini memegang watak Aung San Suu Kyi dalam filem biopik, The Lady adalah Cate Blanchett bagi filem Tar; Andrea Riseborough (To Leslie); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana De Armas (Blonde).
Filem Everything Everywhere All at Once arahan Dan Kwan dan Daniel Scheinert turut menerima beberapa pencalonan pada Anugerah Akademi Ke-95 termasuk Filem Terbaik.
Anugerah Academy (OSCAR) ke-95 dijadual berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, AS pada 12 Mac depan.