KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Puteri Sarah selesai memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah tersohor, Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Isnin.
“Alhamdulillah syukur dan lega segala urusan untuk permohonan cerai dari pihak saya berjalan lancar. Cukup lah sembilan tahun saya menjadi isteri Muhammad Syamsul nampaknya tak ada rezeki,” katanya.
Katanya lagi, mahkamah menetapkan tarikh 7 Mac sebutan cerai dan kebetulan 8 Mac pula adalah hari ulang tahun perkahwinan mereka yang kesembilan.
Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Puteri Sarah dilihat berpakaian serba hitam hadir dengan ditemani adik-beradik selain peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakilinya.
Sejak lima tahun lalu, konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan selepas kantoi mempunyai hubungan dengan anak pelakon senior Kazar iaitu Ira.
Dua minggu lalu, Syamsul akhirnya bersuara mengenai konflik rumah tangganya apabila mengesahkan sudah berkahwin dengan Ira di Thailand dengan berwalikan Kazar.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5 dan Summayah, 3.