Pasangan Kekasih Berdepan Hukuman Mati

GEORGETOWN: Mengedar dadah jenis ganja seberat 5.7 kilogram (kg), sepasang kekasih berdepan hukuman mati selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Jenayah.

Tertuduh Muhammad Syakir Saiful Azhar, 35 dan Mauliana Susanti Pajmi, 31 didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 1 pagi di sebuah pangsapuri di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 30 Disember lalu.

Dalam pertuduhan berasingan, Muhammad Syakir turut didakwa melakukan kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat 1.48 kg kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 29 Disember lalu.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup atau 15 kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham ketika pendakwaan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab. Bagaimanapun, tiada sebarang rekod pengakuan dari kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 April dan tiada penawaran jaminan untuk kedua-dua tertuduh.

Semalam, media melaporkan pihak polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah di tiga serbuan berasingan di negeri ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *