Atasi Perut Buncit Melalui Cara yang Betul.

Menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum Malaysia, sebanyak 15.6 peratus rakyat Malaysia dikategorikan sebagai obese atau gemuk. Bagaimanapun, ramai kini yang telah menyedari betapa pentingnya menjaga pemakanan dan meningkatkan tahap kualiti kesihatan.

Pelbagai faktor yang menyumbang kepada kegemukan dan penambahan lemak terutamanya dibahagian perut yang sudah tentunya memberikan impak kepada kesihatan dan mengubah penampilan seseorang. Perut yang bertambah buncit juga pastinya membuatkan sesetengah individu berasa kurang berkeyakinan.

Namun begitu, setiap masalah pastinya ada jalan penyelesaian dan berikut adalah 3 cara yang boleh dilakukan secara konsisten untuk mengurangkan lemak dibahagian perut.

Pemakanan seimbang adalah penting untuk menjaga kesihatan.

1. Menjaga Pemakanan Melalui Diet yang Seimbang

Ramai yang tersilap apabila tidak mengambil tahu keperluan kalori individu adalah berbeza berdasarkan kepada pelbagai faktor antaranya umur, jantina dan perbezaan dari segi aktiviti seharian.

Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat doktor atau pakar perunding kesihatan yang bertauliah mengenai status kesihatan anda termasuk peratusan lemak dalam tubuh dan jumlah kalori yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dengan baik.

Secara umumnya mengurangkan 500 kalori setiap hari adalah ideal untuk penurunan berat badan yang konsisten dan sihat. 500 kalori ini adalah bersamaan dengan dua cawan nasi tetapi pengurangkan nasi 100 peratus dalam diet adalah tidak digalakkan kerana nasi juga memiliki khasiat dan vitamin yang penting.

Anda juga tidaklah disarankan untuk mengikuti diet yang terlalu rendah kalori kerana kesannya terhadap tubuh antaranya kekejangan otot akibat kekurangan mineral dan keguguran rambut kerana tidak mendapat nutrisi yang secukupnya.

Berenang adalah sukan rendah impak yang sesuai dengan individu yang obese.

2. Bersenam.

Ini adalah antara nasihat yang paling kerap didengari apabila kita membincangkan soal berat badan tetapi kita perlu mengenali keupayaan dan kekurangan tubuh badan sendiri sebelum kita menyertai aktiviti-aktiviti senaman.

Senaman untuk individu yang bertubuh besar semestinya berbeza dengan individu sihat yang memiliki berat badan yang ideal kerana individu yang bertubuh besar lebih berisiko untuk mengalami kecederaan sendi.

Antara senaman yang berimpak rendah kepada sendi terutamanya di bahagian lutut adalah aktiviti senaman seperti berjalan kaki, berenang dan senamrobik di dalam air dan memadailah dengan memulakannya secara perlahan-lahan sehingga anda mampu melalukannya secara konsisten selama 30 minit sehari, 5 kali seminggu.

Bersenam juga adalah satu cara yang amat efektif untuk mengurangkan stres yang juga merupakan salah satu faktor kegemukan.

Alam semulajadi memberikan ketenangan sekaligus mengurangkan stres.

3. Pengurusan Stres

Cara seseorang mengendalikan stres yang dialaminya juga adalah berbeza bagi setiap individu. Ianya mungkin semudah mengambil nafas yang panjang ataupun menerusi pelbagai cara lain antaranya beriadah bersama keluarga, bersiar-siar di halaman rumah, berkebun atau membaca.

Pengurusan stres ini adalah penting kerana kita lebih cenderung untuk makan secara berlebihan sekiranya berhadapan dengan masalah atau tekanan. Lebih elok sekiranya kita mengambil masa dalam 10-15 minit untuk menenangkan diri dari mengambil langkah mudah yang lebih mendatangkan mudarat di masa hadapan.

Kesimpulannya kita hendaklah konsisten dalam usaha untuk mendapatkan tubuh badan yang ideal dan tahap kesihatan yang lebih baik. Semuanya bermula dari keazaman anda sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *