SAO PAULO : Pele, legenda Brazil yang berasal daripada keluarga miskin sebelum menjadi pemain bola sepak terhebat di dunia dan atlet ternama dalam sejarah moden, meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Sejak beberapa bulan lalu, dia menjalani rawatan akibat ketumbuhan dalam ususnya.
Pele, atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, menjaringkan sejumlah 1,281 gol, dan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.
Dengan kemahiran dan senyuman manisnya, dia diantara yang menjadikan bola sepak antara sukan paling popular di dunia dan berjaya memikat hati individu-individu berpengaruh termasuk ahli politik dan selebriti.
Dilahirkan pada 23 Oktober 1940 di pekan Minas Gerais, Tres Coracoes, Edson Arantes do Nascimento belajar bermain bola sepak daripada bapanya, pemain semi-pro yang gagal meneruskan karier bola sepaknya akibat kecederaan lutut.
Ketika kanak-kanak, Pele mula bermain bola sepak sebagai penjaga gol di kawasan kejiranannya, dan rakan-rakan mula menyamakannya dengan seorang pemain bola sepak tempatan bernama “Bile” – dan akhirnya gelaran itu bertukar menjadi Pele.
Bagaimanapun Pele melakar reputasi tersendiri dengan bermain sebagai penyerang dan sering memakai jersi bernombor 10.
Dia menyertai Santos pada usia 15 tahun dan menjadikan kelab kerdil itu antara nama yang hebat dalam bola sepak.
Sepanjang 18 tahun kariernya bersama kelab itu, dia memenangi setiap kejuaraan di Brazil serta dua gelaran Copa Libertadores – kejohanan tertinggi di Amerika Selatan – dan dua Piala Intercontinental, kejohana dwi-tahunan antara pasukan terbaik Eropah dan Amerika Selatan.
Bakatnya turut dihidu pasukan kebangsaan Brazil dan dia terpilih menyertai skuad negaranya ke Piala Dunia 1958 di Sweden pada usia 17 tahun.
Pele menjaringkan hatrik ketika separuh akhir bertemu Perancis, dan dua gol lagi ketika final menentang tuan rumah, Sweden – sekali gus membantu Brazil menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama.
Kecederaan menyebabkan Pele hanya beraksi dalam dua perlawanan pada edisi 1962, yang turut dimenangi Brazil.
Di kejohanan 1970 di Mexico, Pele yang semakin matang pada usia 29 tahun, memenangi Piala Dunia buat kali ketiga bersama skuad yang turut dibarisi Carlos Alberto Torres dan Tostao, dan dianggap antara skuad terbaik dalam sejarah.
Pele bersara pada tahun 1974, tetapi selepas pelaburannya tidak menjadi dan kewangannya meruncing, dia menerima tawaran bermain di Liga Bolasepak Amerika Utara dengan bayaran AS$1 juta (RM4.42 juta) setahun.
Bagaimanapun Pele tetap teguh dengan pendiriannya untuk tidak mendekati arak dan dadah, serta menegaskan dia perlu menjaga badannya dan menjadi contoh kepada kanak-kanak.
Di sebalik kelemahan itu, reputasinya di atas padang terus unggul apabila dia membantu New York Cosmos menjuarai liga pada tahun 1977, dan menarik minat jutaan peminat di Amerika Syarikat terhadap sukan yang sebelum ini hanya terkenal di benua Eropah dan Amerika Latin.
Beberapa tahun kemudian, Amerika Syarikat menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia 1994, dan Pele dikatakan antara faktor penting mereka mendapat hak penganjuran itu.
Laman sesawang FIFA merekodkan Pele menjaringkan 1,281 gol dalam 1,366 perlawanan, termasuk aksi persahabatan ketika dia menyertai tentera, tetapi hanya 757 gol dalam 812 perlawanan rasmi.
Pele mengalami beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, termasuk kecederaan pinggul yang menyukarkan pergerakannya. Dia mengurangkan penampilannya di tempat awam, tetapi kekal aktif di media sosial.